Wednesday, November 3, 2010

PENGHUJAHAN AKAL TERHADAP 5 SYARAT HADITH SAHIH

Oleh: MOHAMAD ADNIN BIN YAHYA


5 syarat hadith sahih ialah:
1)      Sanad yang bersambung
2)      Naqal dari seorang yang Adil
3)      Dhabit
4)      Tidak syaz
5)      Tidak ada kecacatan

Sanad yang bersambung adalah merupakan syarat yang pertama daripada 5 syarat hadith sahih. Perlunya bersambung sanad adalah kerana untuk kita memastikan bahawa wujudnya perpindahan hadith dari satu rawi kepada perawi yang dalam keadaan yang terbaik. Periwayatan sesebuah hadith berlaku apabila bertemunya perawi di antara satu sama lain, atau yang dinamakan liqa’ sebagai syarat-syarat hadith sahih yang diguna pakai oleh Imam Bukhari(w. 256H) di dalam Sahihnya. Atau wujudnya keberadaan perawi di dalam satu zaman mu’asarah walaupun tidak pernah bertemu sebagaimana syarat-syarat hadith sahih yang diguna pakai oleh Imam Muslim(w. 261H) di dalam Sahih. Maka dengan ini berlakulah apa yang dinamakan Ittisa al-Sanad.
           
Bersambung sanad juga adalah merupakan kekuatan kepada hadith kerana dengan bersambungnya sanad dapat diketahui bahawa hadith itu bebas daripada tidak berlakunya penambahan-penambahan di dalam sesebuah matan hadith. Maka sanad yang terdekat atau dikenali sebagai sanad al-‘Ali  adalah sanad yang terkuat  sebagai mana sananya Imam Malik bin Anas(w. 179H) dari Imam Nafi’ dari Ibnu Umar dari Nabi SAW. Makin dekat sanad periwayat sesebuah hadith, maka matan semakin terpelihara dan murnilah sesebuah matan hadith tersebut daripada penambahan–penambahan yang mungkin berlaku apabila sanad itu semakin panjang, sebab itulah jika wujud syarat yang kedua di dalam hadith sahih iaitu sanad-sanad yang menyambung, naqal-menaqal hadith dari seseorang perawi dengan perawi yang sebelumnya mestilah seorang yang adil.
             
Syarat adil ialah syarat penguat kepada syarat yang pertama tadi, sambung menyambung sanad mestilah berlaku dari orang yang adil. Berkata Ibnu al-Solh(w. 653H) bahawa orang yang adil ialah taat perintah Allah, meninggalkan segala larangan-larangan Allah, malah kata Ibnu al-Solãh juga bahawa orang adil juga sanggup meninggalkan perkara-perkara mubah. Walaupun perkara sebenarnya jika dikerjakan oleh masyarakat awam, ianya tidaklah buruk, tetapi jika ianya dikerjakan oleh seorang perawi yang meriwayatkan sesebuah hadith dari Nabi SAW maka ianya tidaklah dianggap cocok atau sepadan dengan dirinya yang sebagai seorang perawi yang meriwatkan hadith dari Nabi SAW. Maka ditinggalkannya perbuatan yang mubah/harus itu. Inilah orang yang Adil yang sifatnya sangat bertentangan dengan sifat orang yang fasiq.


            Jika berlaku perpindahan hadith melalui orang-orang yang yang adil, maka tiada lagi sanksi/syak wasangka pada kita, bahawa mereka yang dianggap adil ini akan mendustai dan melakukan perubahan-perubahan di dalam hadith-hadith Nabi S.A.W. Maka akal yang sihat akan mampu menerima khabar-khabar yang dibawa oleh orang yang adil. Tetapi syarat adil juga tidak cukup menurut ulama-ulama hadith jika keadilan yang ada pada setiap perawi itu jika perawi adil itu tidak dhabit. Tidak tetap apa dia naqalkan dari gurunya. Maka dengan itu wujud syarat yang ketiga, sebagai penghujahan akal bahawa jika kita ingin memastikan kekuatan sesebuah hadith ialah dengan sanad yang bersambung, melalui orang yang adil dan juga dhabit.

            Dhabit terbahagi kepada dua iaitu dhabit al-shadr dan juga dhabit al-kitab. Tetap terpahat di dalam dadanya ataupun tertulis lengkap di dalam catatannya. Ingatan yang kuat, hafalan yang mantap tanpa keraguan, tanpa was-was, lancer adalah membantu kepada kekuatan sesebuah hadith. Jika dhabit al-shadrnya tidak kuat, sekurang-kurangnya dhabit al-kitabnya jelas, terang, tidak ada kesamaran, maka ia dinilai sebagai seorang yang dhabit dan kukuh. Dengan catatan-catatan itu akan memberi ingatan kembali kepada hafalannya. Maka tanpa dhabit, iaitu orang yang pelupa, banyak keraguan yang akan dibuat terhadap hadith yang diriwayatkan.

            Dan sebagai pelengkap di atas, syarat-syarat hadith sahih di atas maka syarat keempat dan kelima diperlukan iaitu riwayat tersebut tidak syaz dan tidak ada kecacatan yang boleh sesebuah hadith itu diragui.
           
            Syaz berlaku apabila seorang perawi yang thiqah meriwayatkan sebuah hadith yang bersalahan dengan riwayat perawi yang lebih thiqah daripadanya. Sebagaimana masalah kadar bilangan rakaat tarawih antara 8 rakaat dan juga 20 rakaat. Kekuatan kethiqahan yang memberikan kekuatan kepada riwayat yang dibawa olehnya. Maka akal akan menerima orang yang lebih jujur/thiqah berbanding dengan thiqah. Apatah lagi riwayat fasiq, pasti akan ditolak dengan sama sekali.

            Begitu juga kecederaan dan kecacatan tidak boleh berlaku. Menurut Ibn Qayyim al-Jauziah(w. 751H), ada beberapa  kecederaan akan dikenal pasti yang akan menyebabkan sesuatu hadith menjadi palsu. Antaranya wujudnya kelucuan, atau wujud ganjaran-ganjaran yang melampau, dan wujud sesuatu yang menyalahi akal yang sihat, maka ini perkara yang akan mencederakan matan sesebuah hadith walaupun sanadnya bersambung, dari seorang yang adil, dhabit, dan tidak syaz, akan tetapi jika wujud kecederaan dan kecacatan, maka hadith tersebut akan ditolak.
           
            Beginilah bentuk penghujahan akal menurut pendapat saya. WALLAHU A’ALAM.

1 comment:

  1. Top 10 Casino and Sportsbook Apps in India
    Looking for the best 구리 출장안마 online 강원도 출장샵 gambling apps in India? ₹2,500 welcome bonus 나주 출장샵 ₹1,500 free spins 아산 출장안마 ₹150000 bonus for Indian players ₹100 free bet 군산 출장샵

    ReplyDelete